|
|
LONDON - Andre Villas-Boas mengakui pertembungan getir Chelsea dengan Valencia pada aksi Liga Juara-Juara hari ini merupakan pertarungan hidup-mati untuk dirinya di Stamford Bridge.
Skuad Villas-Boas memasuki perlawanan terakhir Kumpulan E dengan risiko tersingkir awal daripada saingan kelab elit Eropah itu buat kali pertama sejak revolusi Roman Abramovich.
Blues pada awalnya tampak menyakinkan dan diramal tiada masalah untuk mara ke pusingan 16 pasukan terakhir selepas mengutip tujuh mata menerusi tiga perlawanan pertama.
Namun seri dengan kelab kerdil Belgium, Genk dan tewas mengejut kepada Bayer Leverkusen, menyulitkan peluang mereka.
Chelsea kini perlukan kemenangan atau setidak-tidaknya mencatat keputusan seri tanpa jaringan untuk layak.
Pemilik kelab, Abramovich tidak menyembunyikan keinginannya melihat Chelsea menjulang trofi Liga Juara-Juara.
Malah layak ke final edisi 2008 (tewas kepada Manchester United) tidak cukup untuk menyelamatkan pengurus ketika itu, Avram Grant mengekalkan jawatannya .
Jadi, Villas-Boas sedar kegagalan bukan satu pilihan dan dia terdesak mengelak aib menjadi pengurus pertama daripada tujuh orang yang pernah bekerja untuk Abramovich, tersingkir seawal peringkat kumpulan.
Pengurus Portugal berusia 34 tahun itu boleh mengambil sedikit semangat hasil kemenangan 3-0 di Newcastle Sabtu lalu, tetapi prestasi hambar di laman sendiri pula digunakan Valencia sebagai satu suntikan semangat.
Stamford Bridge, yang selama ini merupakan kubu kuat Chelsea dilihat tidak lagi menjadi faktor digeruni lawan selepas mereka mengalami tiga kekalahan daripada empat perlawanan terakhir di depan penyokong sendiri.
Villas-Boas menafikan bermain di laman sendiri sebagai satu masalah, biarpun mengakui pasukannya mempamerkan aksi lebih baik ketika bertandang ke tempat lawan.
"Saya tidak berkata aksi di Stamford Bridge merupakan satu masalah. Sebaliknya, cuma ada masalah dengan keputusan di Stamford Bridge, kami tiada masalah dengan peminat di Stamford Bridge."
"Kami mempamerkan persembahan mantap di tempat lawan. Jika dinilai dari segi tumpuan, bermain di tempat lawan, anda bermain dalam keadaan lebih tertekan.
"Ada kalanya lebihan tekanan membolehkan anda memberi tumpuan dan ia membantu dalam persembahan anda," kata Villas-Boas. - AFP
No comments:
Post a Comment