Subscribe:

Labels

Saturday 10 December 2011

Bola anak angkat korporat



Najib Tun Razak menyampaikan replika cek RM2,000 kepada kapten skuad Harimau Muda, Baddrol Bakhtiar pada majlis penyerahan SHAKAM Sukan SEA XXVI di Stadium Juara, Bukit Kiara, semalam. Skuad bola sepak mempertahankan pingat emas pada temasya tersebut.



KUALA LUMPUR - Pembabitan lebih besar sektor swasta yang mengambil sesebuah pasukan sebagai anak angkat mereka, bakal disarankan kepada Majlis Sukan Negara (MSN) dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam membaharui perjalanan liga bola sepak negara.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, idea pasukan anak angkat korporat mirip yang diamalkan di Myanmar sekarang, turut mampu menterjemahkan pasaran bola sepak tempatan sekarang menjadi industri yang lebih besar sehingga mencakupi rantau Asia Tenggara.

“Banyak negara ASEAN sudah melakukan transformasi besar liga mereka dan saya terkejut apabila mendapat tahu bahawa sektor swasta yang menggerakkan liga Myanmar dengan setiap badan korporat diwajibkan untuk mengambil sesebuah kelab itu macam anak angkat mereka.

“Kita dengan Myanmar pun, selalu kita ingat dia pasukan belasahan sahaja tetapi dia berjaya membelasah Vietnam (untuk menang gangsa di Jakarta, baru-baru ini),” katanya selepas majlis penyerahan Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) Sukan SEA XXVI Indonesia di Stadium Juara, Bukit Kiara, semalam.

Beliau mengulas ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak terdahulu dalam majlis itu yang menyarankan pembaharuan liga profesional negara supaya mutu bola sepak tempatan turut dapat ditingkatkan dan menjamin kesinambungan kejayaan pasukan Malaysia di pentas antarabangsa.

Jelas Ahmad Shabery, sebuah pasukan Liga Perdana, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) juga akan mula menggunakan konsep anak angkat itu apabila dijanjikan sokongan kewangan yang besar daripada syarikat Airod Sdn. Bhd.

Kata Ahmad Shabery, sekiranya saranan pasukan anak angkat sektor swasta itu dapat diputuskan, ada kemungkinan sebuah Liga Juara-Juara Asia Tenggara seperti mana Liga Juara-Juara Eropah UEFA dapat diwujudkan sebagai menampung industri bola sepak serantau yang kian berkembang luas itu.

“Liga Juara-Juara Asia sudah ada tetapi di Asia Tenggara, belum lagi. Jika ini berlaku, ia akan memberi satu dimensi baru pada bola sepak kita. Ia perlu dilihat secara menyeluruh kerana di Indonesia pun, bayaran pemain profesionalnya begitu besar,” katanya.

“Saya akan cuba bincang dengan MSN dan FAM dengan menghadap Tuanku Sultan Ahmad Shah, Presiden FAM, tidak lama lagi untuk membincangkan beberapa pendekatan kerajaan jika boleh kita menolong (membaharui) Liga Malaysia,” katanya.

Malah, beliau sanggup mengetengahkan idea bagaimana untuk menjadikan rantau Asia Tenggara sebagai pasaran atau industri besar bola sepak dalam mesyuarat dengan menteri-menteri sukan Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) di Jogjakarta, minggu depan.

Justeru, Ahmad Shabery menambah, cita-citanya dalam tempoh terdekat ini ialah melihat ramai pemain bola sepak tempatan yang mampu bergelar jutawan sebelum usianya mencapai 40 tahun seperti mana pemain badminton mahupun skuasy nombor satu dunia dari Malaysia.

Sumber

Suarez dapat sokongan Dalglish


LIVERPOOL - Pengurus Liverpool Kenny Dalglish memberi jaminan Luis Suarez mendapat sokongan penuhnya berhubung dua tuduhan daripada Persatuan Bolasepak (FA) England.
Suarez bersalah melakukan isyarat lucah terhadap penyokong-penyokong Fulham semasa pasukannya tewas 0-1 di Craven Cottage, Isnin lalu.

Insiden itu berjaya dirakamkan oleh jurugambar dan Suarez yang sebelum ini berdepan dakwaan bersikap rasis terhadap bek Manchester United, Patrice Evra diberi tempoh sehingga Isnin ini untuk menjawab pertuduhan tersebut.

Dalglish percaya bekas pemain Ajax itu yang telah menjaringkan tujuh gol dalam liga musim ini mendapat sokongan padu penyokong Liverpool.

"Semua pekerja, pemain dan penyokong akan berdiri teguh bersamanya (Suarez) kerana mereka tahu perkara yang sebenar.

"Mereka boleh mendakwanya dia tetapi buatlah dengan cara yang adil. Itu sahaja kehendak kami," tegas bekas penyerang Scotland itu. - AFP

Arsenal mahu hadiah hari jadi


LONDON - Arsenal mahu menyambut ulang tahun ke-125 penubuhan kelab itu dengan bergaya apabila mahu menjinakkan Everton dalam pertemuan liga di Stadium Emirates hari ini.

Ulang tahun penubuhan kelab itu hadir ketika skuad bimbingan Arsene Wenger berada dalam rentak positif selepas bangkit daripada prestasi hambar pada permulaan musim yang meletakkan Gunners terperosok di bawahan liga.

Arsenal kalah kepada kelab Greece, Olympiakos pada pertengahan minggu lalu tetapi sudah melayakkan diri ke pusingan kalah mati Liga Juara-Juara manakala di dalam liga, Gunners tidak pernah kalah dalam tujuh perlawanan terakhir liga.

Wenger percaya usahanya membawa masuk seberapa ramai pemain berpengalaman pada hari terakhir pintu perpindahan telah memberikan kesan positif apabila bergandingan dengan pemain-pemain muda.

''Kami nampak lebih matang pada masa sekarang. Anda boleh rasai ketika kami melalui saat-saat sukar dalam sesuatu perlawanan kerana kami tidak panik dan tidak memberikan gol-gol mudah. Itu memberikan saya kelegaan," katanya.

Kehebatan Arsenal dalam liga mutakhir ini dibantu oleh kehebatan kapten, Robin van Persie yang menjaringkan sebanyak 13 gol dalam 10 penampilan terakhir. - AFP

Platini bidas kenyataan Ferguson


VENICE - Presiden Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA), Michel Platini membidas kenyataan pengurus Manchester United, Alex Ferguson yang memperkecilkan standard Liga Europa.

Ferguson menggambarkan beraksi dalam Liga Europa merupakan satu hukuman buat pasukannya selepas gagal mara ke pusingan kalah mati Liga Juara-Juara Eropah apabila tewas mengejut 1-2 kepada FC Basel, Rabu lalu.

"Dunia tidak hanya tertumpu kepada England. Saya suka England, bola sepaknya sangat hebat dan penyokong mereka amat menarik tetapi anda tidak boleh mengkritik Liga Europa disebabkan anda sudah beraksi dalam tiga perlawanan akhir Liga Juara-Juara Eropah.

"Liga Europa adalah satu kejohanan yang hebat. Saya tahu Ferguson lebih senang untuk beraksi dalam Liga Juara-Juara Eropah tetapi begitu juga kelab lain yang tidak mempunyai peluang tersebut," kata Platini. - AFP

Vidic terlepas aksi semusim


LONDON - Bek Manchester United Nemanja Vidic terlepas peluang beraksi sepanjang musim ini selepas mengalami kecederaan teruk pada ligamen lututnya semasa beraksi dalam Liga Juara-Juara menentang Basel, kata pengurus pasukan Alex Ferguson, semalam.

''Kami sudah jangka kecederaan itu teruk. Dia tidak akan beraksi sepanjang musim ini. Keadaan ini sudah dijangka dan ia merupakan berita buruk buat kami.

''Dia (Vidic) akan mendapatkan rawatan pakar Isnin ini dan menentukan hari pembedahan. Perkara ini tidak akan dibuat terburu-buru bagi membolehkan bengkak pada lututnya surut,'' kata Ferguson.

Pemain bek tengah Serbia itu diusung keluar padang menggunakan pengusung dalam aksi yang menyaksikan United tersingkir daripada meneruskan saingan Liga Juara-Juara. - Reuters

Aksi Clasico Messi, Ronaldo



CRISTIANO RONALDO


PARIS - Selepas lima hari disenarai pendek untuk anugerah Ballon d'Or, Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo kembali berdepan dalam pertembungan Clasico pertama musim baru Liga Sepanyol hari ini.
Selain mereka, Xavi - pemain ketiga yang turut dicalonkan untuk anugerah yang sama juga akan berada di Santiago Bernabeu hari ini, sekali pun namanya tidaklah segah Messi dan Ronaldo.
Pasukan Jose Mourinho telah menang dalam 15 perlawanan sebelum ini, sekali gus menyamai rekod kelab dan mereka mampu untuk menjarakkan kedudukan dengan enam mata jika dapat mengalahkan penyandang juara itu.
Sebagai tambahan, rekod Barca dalam perlawanan di luar gelanggang agak suram.
Anak-anak buah Pep Guardiola hanya menang dua kali dalam enam perlawanan musim ini dan kesemuanya dengan margin 1-0.
Messi, pemenang Ballon d'Or tahun lepas amat menyukai pertemuan ini. Dia telah menjaringkan gol sebanyak 13 kali dalam 15 pertemuan dengan Real Madrid, malah dia tidak sabar untuk berdepan Iker Casillas.
Sementara itu, Ronaldo bangkit daripada ketinggalan musim lepas, menyertai Messi selaku penjaring terbanyak dengan rekod 40 gol untuk musim 2010-11.
Musim lepas juga menjadi ingatan buat pemain Portugis itu apabila dia menjaringkan gol menentang Barcelona buat pertama kali dalam perlawanan yang menyaksikan seri 1-1 di Bernabeu.
Selepas beberapa hari menjaringkan gol tersebut, pemain berusia 26 tahun itu membantu pasukannya memenangi Copa del Rey dengan tandukan cantik dalam masa tambahan menentang Barcelona.
Apa pun, Ronaldo hanya menjaringkan tiga gol daripada sembilan penampilan menentang Barcelona dan sejak kekecewaan pada Copa del Rey, Messi telah menjaringkan gol cantik dalam pertemuan pertama separuh akhir Liga Juara-Juara kedua-dua kelab itu.
Rekod hebat Messi sukar untuk menyaksikan dia akan terlepas genggaman Ballon d'Or dan Ronaldo enggan bercakap mengenainya. - AFP

Ferdinand yakin MU kembali bertaring





MANCHESTER - Selepas ditunjuk jalan keluar oleh FC Basel dalam Liga Juara-Juara, Rio Ferdinand (gambar) percaya Manchester United akan kembali bangkit apabila berdepan Wolverhampton Wanderers di Old Trafford, Sabtu ini.
Kekalahan kepada Basel telah menyebabkan United terpaksa bersaing dalam Liga Europa, sekali gus meletakkan trofi Liga Europa sebagai sasaran utama pada musim ini.
Dengan Manchester City lima mata meninggalkan United, Alex Ferguson percaya skuadnya harus kembali mengejar kedudukan pasukan jirannya itu.
Bekas pemain United, Roy Keane antara yang lantang mengkritik kekuatan skuad bimbingan Ferguson itu selepas kalah mengejut di Switzerland.
Namun, Ferdinand, yang merupakan salah seorang pemain dipersoalkan masa depannya di kelab itu, yakin United akan menunjukkan kembali taring sebenar.
‘‘Kami semua cukup sedih terkeluar pada peringkat ini tetapi kami tidak melakukan yang terbaik ketika di Old Trafford.
‘‘Jika anda tidak melakukan yang terbaik di tempat sendiri, anda tidak boleh meramalkan yang kami mampu melangkah jauh.
‘‘Perlawanan sebelah malam di Old Trafford, di bawah lampu stadium dan lagu rasmi Liga Juara-Juara, itu satu kepuasan buat kami tetapi kami terkeluar lebih awal pada musim ini dan kami pasti kecewa.
‘‘Namun kami tidak boleh menyalahkan sesiapa dalam hal ini. Kami akan kembali menguatkan semangat kami dalam perlawanan seterusnya kerana itu yang menyebabkan kami sebuah kelab hebat,” kata pertahanan England itu. – AFP
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...